PRINSIP PERUBAHAN POLITIK KAMPUS
Bahang Pilihan Raya Kampus (PRK) kian terasa. Dengan hempasan Tsunami politik sewaktu pilihan raya umum mac lalu memberikan kesan yang besar kepada lanskap bukan sahaja politik Malaysia, malah politik kampus. Masyarakat umum terutamanya aktor-aktor parti politik kini mengalihkan pandangan mereka kepada Pilihan Raya Kampus (PRK). Mungkin kerana itu, tarikh PRK di kampus-kampus utama menjadi teka-teki kepada umum, malah ini adalah sejarah kerana PRK paling lewat yang pernah dilaksanakan.
Perbahasan kepada PRK bukanlah satu perkara yang boleh dianggap enteng, kerana ianya bakal memberikan imej dan mesej daripada umum terhadap apa yang berlaku kepada politik tanah air. Hipotesis yang boleh kita buat adalah jika kelompok yang dikatakan Pro-Mahasiswa menang maka memberikan imej mengiyakan bahawa berlaku ‘Political Swing’ atau perubahan angin politik kepada politik tanah air, rakyat mula untuk menolak pemerintah yang ada, dan begitulah sebaliknya jika kelompok aspirasi masih menang, maka akan menunjukkan bahawa status-quo politik semasa adalah bersifat sementara dan selesa kepada pemerintah. Mungkin begitulah, cakap-cakap umum yang menjadi perbualan hangat berhubung dengan PRK.
Kita tidak boleh nafikan bahawa faktor politik kampus memberikan kesan yang besar kepada politik luar. Ini adalah kerana dorongan kepada apa yang berlaku di politik luar turut tercetus kerana Mahasiswa, selaku pengundi golongan muda yang rata-rata memberikan mesej yang besar kepada parti pemerintah sewaktu PRU-12 yang lepas. Ini juga dapat kita lihat secara jelas, bukan sahaja di Malaysia malah serata dunia termasuk Indonesia.
Di Indonesia, jika berlaku Pemilihan Umum PEMILU, parti-parti yang bertanding perlu untuk mendapat mandat dan lobi daripada 3 badan terbesar Negara tersebut. Pertama adalah Muhammadiyyah, kedua, Nahdatul Ulama dan Ketiga adalah Mahasiswa. Ketiga-tiga entiti ini menentukan jatuh bangun sesebuah regim bukan sahaja kerana bilangan mereka besar tetapi juga kerana mobilasi serta suara besar yang mereka miliki. Peristiwa Reformasi 1998, menjatuhkan rejim Suharto, memberikan coretan sejarah betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh mahasiswa.
Di Malaysia, kita punya sejarah yang begitu besar terhadap peranan mahasiswa membentuk politik Negara. Malah sewaktu penggabungan PAS dan Perikatan satu ketika dulu, menjadikan Negara kita kelompongan, vakum terhadap makenisme ‘Kebertanggungjawapan’ dan Check and Balance di dalam politik Negara. Pada ketika itulah, badan-badan mahasiswa, seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) dan beberapa yang lain diangkat oleh rakyat bagi mengisi vakum kelompongan tersebut. Persatuan mahasiswa ini bertindak persis sebuah parti pembangkang di dalam sistem demokrasi. Isu kemiskinan, rasuah, kebajikan, hak pekerja, petani, pendidikan, Bahasa Melayu, dan politik tanah air menjadi perjuangan dalam politik gerakan mahasiswa. Pada ketika inilah mahasiswa diberi gelaran sebagai “Mahasiswa juru Bicara Ummah”.
Namun demikian, menarik untuk kita lihat kepada fenomona hari ini. Secara tuntas, bermula pasca 1975, dimana ketika inilah AUKU seperti mana adanya sekarang dipinda dan dilaksanakan kepada Mahasiswa dan Universiti. Kerana kuatir dengan peranan besar yang mampu dimainkan mahasiswa, lantas diadakan undang-undang ini untuk mengekang pergerakan mahasiswa. Kalau ingin dibicarakan kesan AUKU kepada mahasiswa dan universiti pasti banyak yang ingin saya perkatakan.
Namun, apa yang saya ingin beri penekanan adalah salah satu daripada kesan buruk AUKU, mahasiswa mula disibukkan dengan politik pilihanraya kampus yang secara tidak langsung mendatangkan kesan negatif terhadap perpaduan mahasiswa. Seringkali mahasiswa terjebak dengan semangat kepuakan yang masing-masing cuba mengangkat darjat puak mereka pada masa yang sama memperlekeh puak yang lain. Di mana-mana sahaja apabila menjelangnya pilihanraya, akan wujud dua kelompok besar yang saling berlawanan antara satu sama lain. Malah ketegangan tetap berterusan di luar musim pilihanraya kerana setiap kelompok akan berebut-rebut mencari ahli bagi terus menyokong dasar perjuangan masing-masing.
Kesan daripada ini, aktivisme dan perjuangan mahasiswa seperti yang saya nyatakan tadi hanya tinggal nostalgia dan sejarah. Hal ini didokong oleh tulisan John L Esposito, “ Islam and Democracy”. Buku ini menarik untuk kita baca, kerana Esposito memberikan kes studi yang berlaku kepada gerakan Islam di Negara yang pelbagai termasuk Malaysia. Di dalam hal ini, saya dapat simpulkan bahawa, kayu ukur yang menentukan kekuatan satu-satu jemaah atau kelompok adalah ditentukan siapa yang memegang kepimpinan kampus. Kepimpinan yang diangkat melalui PRK, menjadi kayu ukur dan gambaran bahawa satu-satu kelompok itu kuat.
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan Esposito, tetapi jika kita bertanya dengan ikhlas mengenai persoalan PRK, sebenarnya ia adalah pergelutan untuk mendapat kuasa demi memberikan imej siapa yang lebih kuat. Gerakan Mahasiswa Islam di Indonesia, yang ketika ini diketuai kepimpinan kampusnya oleh kelompok yang dikatakan ‘Ikhwan’ iaitu Kumpulan Aksi Mahasiswa Islam KAMMI sayap mahasiswa kepada Partai Keadilan Sejahtera PKS, begitu juga di Indo-India, Bangladesh dan Pakistan, politik kampusnya dikuasai oleh Chatra Shibir, sayap Mahasiswa kepada Jamiat Islami. Chatra Shibir berdepan dengan kelompok Sosialis dan Sekular, dikalangan anggotanya ada yang syahid, dibunuh iaitu berjumlah seramai 132 orang, salah satu faktornya adalah kerana pilihan raya kampus.
Lebih malang di Malaysia adalah kerana kita ada dua faktor, pertama adalah AUKU yang membentuk sistem dan kerangka pemikiran mahasiswa secara self-centered dan faktor kedua adalah faktor kepuakkan yang banyakkanya adalah untuk menunjukkan siapa paling berkuasa di kampus. Ketika ini pelbagai kelompok yang hidup dalam kampus, ada yang basis Islam, ada yang basis parti politik, dan ada yang disifatkan neutral bakal beradu kekuatan dan pengaruh.
Walau apapun basis dan alasannya, saya tidaklah bermaksud untuk menolak mentah-mentah pilihan raya kampus PRK, tetapi saya menyeru mahasiswa kepada perubahan budaya dan pemikiran politik kampus. Prinsip saya adalah kepada 3 prinsip perubahan asas iaitu politik Fastabiqul Khairat, politik ilmu dan terakhir adalah politik objektif.
Politik fastabiqul Khairat adalah asas kepada politik Islam seperti yang telah di landaskan oleh Quran, malah di dalam hadith Shahih Bukhari dan Muslim“ Sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap persoalan kaum muslimin ia bukan di kalangan mereka”. Ditambah lagi oleh Imam Ibn Al-Qayyim mengetengahkan pendapat Imam Abu al- Wafa’ b. Aqil al-Hanbali tentang politik yang berbunyi :
“Politik ialah satu perbuatan yang kedudukannya di tengah-tengah manusia boleh mendekatkan mereka kepada kemaslahatan dan menjauhkan mereka dari kerosakan, selagi tidak bercanggah dengan undang-undang syariat.”
Ibn al –Qayyim sendiri berpendapat , “Politik yang adil mustahil bercanggah dengan undang-undang syariat. Ia haruslah selaras dengan matlamat syariat,malah merupakan sebahagian dari syariat.Beliau menambah lagi menyatakan pada asasnya politik merupakan syiar keadilan yang diajarkan Allah dan Rasul-Nya.”(At-Turuq al-Hukmiyyah fi as-siyasah as-shari’iyyah.)
Asas kepada Politik Fastabuqul Khairat adalah mengejar perjuangan mendaulatkan agama dalam asas tunjangan syariat. Jangan pula perjuangan mendaulatkan agama dalam kefahaman Machiavelli, perjuangan nama agama tapi tindakan langgar agama, seperi fitnah, adu domba dan perbalahan.
Prinsip perubahan kedua adalah Politik ilmu, idea atau Intelek. Hal ini adalah merupakan asas penting dalam kepimpinan Mahasiswa. Kepimpinan Mahasiswa tidak sahaja perlu karisma, dan petah berpidato tetapi pada hemat saya soal ‘Intelectual Leadership’ di dalam berbahas idea, berhujah membela kebenaran, agresif di dalam mengangkat budaya ilmu di universiti adalah merupakan ajakan penting di dalam perubahan politik kampus.
Prinsip terakhir yang saya ingin lontarkan adalah politik objektif. Sandaran kepada politik objektif adalah idealisme mahasiswa. Mahasiswa seharusnya diberi hak untuk berpatisipasi, dan cenderung kepada mana-mana parti, kerana itu adalah hak setiap warganegara yang cukup syaratnya dalam perlembagaan. Namun demikian, adalah menjadi sesuatu yang merugikan jika penglibatan mahasiswa di dalam mana-mana kolompok termasuk parti politik, mengongkong dan menyempitkan ruang potensi, akal, idealisme dan aktivisme mahasiswa.
Contoh yang mungkin boleh diambil adalah mahasiswa United Kingdom. Hampir setiap mahasiswa mempunyai parti yang disertai mereka samada Parti Buruh atau Konservatif. Dalam hal ini, yang menarik adalah pihak universiti sehinggakan memberi cuti khas malah diberi kredit untuk mereka yang mempunyai program politik atau agenda khas dalam politik. Namun demikian apa yang menarik adalah, walaupun mereka menyertai satu-satu parti, tetapi idelisme Mahasiswa itu tadi tetap menjadi asas pokok. Sebagai contoh, mereka mempunyai Parlimen Mahasiswa, National Union of Student, yang mana rata-rata ahli parlimen mahasiswa ini mewakili kelompok mahupun parti masing, tetapi ahli parlimen tersebut boleh bercanggah pandangan dengan parti itu jika parti itu bercanggah dengan idealisme mahasiswa.
Di penghujung tulisan ini, saya menyeru agar mahasiswa yang amanahnya sebagai satu golongan cerdik pandai yang berada di tengah-tengah masyarakat perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan martabat mahasiswa bagi kepentingan Ummah. Bukan untuk satu-satu tujuan sempit semata-mata. Perubahan di dalam pilihan raya dan politik kampus harus dilaksana.
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
www.saifullahzulkifli.blogspot.com
2.47 am 17 Okt 2008
1 comment:
Assalamualaikum wbt
Tetapi, kalau cuba dan tidak berapa minat politik bagaimana? how to help myself by loving politics if what i see is full of anger ,bad words and others..and how to manipulate them. I am trying but last-last..ur alone and others give up. mcm sorang2 bersemangat.
Post a Comment