Wednesday, April 23, 2008

TIMB MENTERI PENGAJIAN TINGGI VS KKK

TIMB MENTERI PENGAJIAN TINGGI VS KKK

SAIFULLAH ZULKIFLI – www.saifullahzulkifli.blogspot.com

Perbandingan yang menarik jika melihat ungkapan daripada dua individu yang mempunyai ‘authority’ besar di dalam persoalan mahasiswa dan generasi muda. Pertama adalah Timb Menteri Pengajian Tinggi sewaktu perbincangan tertutup dengan beliau dan kedua adalah Prof Koo Kay Kim sewaktu menghadiri seminar hak asasi manusia dan mahasiswa anjuran pihak yang sama iaitu Kementerian Pengajian Tinggi.

Timb Menteri Pengajian Tinggi sewaktu perbincangan tersebut mungkin banyak dipengaruhi oleh latar belakang beliau yang aktif di dalam pertubuhan belia, malah beliau masih memegang jawatan sebagai timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Apa yang menarik untuk dikupas disini apabila mendengar pandangan belia tentang generasi muda dan definasi beliau tentang generasi muda.

Generasi muda yang disifatkan sebagai golongan ‘gila-gila’ dalam masyarakat sentiasa cenderung untuk melakukan sesuatu yang ekstrim dan melanggar batasan kerana sifat yang ‘panas’, kurang ilmu, kurang matang dan mahu kelihatan lain dari yang lain. Sifat-sifat inilah yang banyak membawa generasi muda sesetengahnya terlibat dalam gejala-gejala yang tidak sihat seperti masalah sosial, rempit, hedonistik dan sebagainya.

Dalam hal yang lain pula, sifat-sifat yang seperti ini juga membawa kepada generasi muda yang radikal, anti-establishment dan kritikal dalam satu-satu hal. Generasi muda dalam pandangan Timb menteri itu melihatkan satu kuasa besar dan kuasa pendesak yang dimainkan oleh generasi muda. Generasi Muda yang celik mindanya dan kritikal pemikirannya kepada persekitaran terutama isu politik dikuatiri akan membawa bala bencana kepada kerajaan dan masyarakat.

Oleh itu di dalam mendepani masalah ini, timb menteri tersebut menggagaskan satu idea bahawa generasi muda perlu dilambakkan dan diasak dengan aspek fizikal. Program-program yang bersifat pertandingan sukan, futsal, paint ball perlu dibanyakkan kerana ini dapat mengalihkan fokus generasi muda daripada memikirkan masalah ummat dan politik negara disebabkan kecenderungan generasi muda yang radikal serta tidak mampu untuk menilai satu-satu hal secara matang.

Berbanding program-program yang bersifat intelektulisma dan idealisma, disifatkan sebagai perkara yang ‘sekondari’, sampingan yang tidak begitu relevan dengan generasi muda yang darah panas dan energatik. Jika mahu dibuat nisbahan, 80 peratus fizikal dan 20 peratus mental.

Hal ini mungkin mendapat pandangan yang berbeza apabila Prof Koo Kay Kim bercakap soal generasi muda dan mahasiswa sewaktu menjadi panel di dalam forum mahasiswa dan hak asasi manusia pada 17 April 2008. Prof KKK menzahirkan kekecewaan kerana kehadiran perserta yang amat mendukacitakan, sekitar 60 orang. Kekecewaan ini beliau kaitkan dengan fenomena mahasiswa dan generasi muda pada hari ini yang begitu ‘obsess’ dan dimomokkan dengan orientasi peperiksaan.

Segala-galanya adalah untuk mendapat gred dan markah yang baik dalam peperiksaan. Setiap bacaan yang dibaca adalah untuk menjawab soalan peperiksanaan, segala tindakan termasuk program yang dilaksanakan adalah untuk mendapat markah atau merit yang baik di dalam satu satu ujian. Universiti dan mahasiswa hari ini mementingkan markah dan keputusan yang baik mengatasi permasalahan masyarakat, melakukan kebaikkan pada yang lain, kesedaran sivik dan menyumbang kepada ummat. Generasi yang sebegini hanya akan melahirkan satu generasi mendatang yang hanya bersifat materialistik dan individualistik.

Prof KKK yang menyeru agar tradisi ilmu diangkat semula dengan bacaan yang baik, penerbitan yang mencabar minda malah diterbitkan oleh mahasiswa sendiri dan perbincangan serta diskusi ilmu yang mengangkat martabat generasi muda. Prof KKK berseloroh dalam mengungkap fenomena ini apabila mahasiswa dahulu sebagai contoh jabatan sejarahnya sendiri, menerbitkan jurnal sejarah yang diterbitkan sendiri oleh mahasiswa tetapi pada hari ini jurnal itu terpaksa diambil alih oleh jabatan dan kalau diterbitkan sekalipun amat kecil bilangan mahasiswa yang membacanya.

Malah apabila bercakap hal ini, saya teringat tulisan yang di tulis Prof KKK di dalam buku Mahasiswa Abad 21 yang menyatakan bahawa forum dan diskusi ilmu begitu segar di universiti. Hampir setiap malam pasti ada saja program ilmu yang dianjurkan. Ramai ilmuwan dan ahli politik diundang bagi berdiskusi dan berdialog dalam hal masyarakat dan dasar negara. Prof KKK mengunkapkan bahawa hanya mereka yang betul bersedia dan berkelayakkan akan berani untuk menerima undangan tersebut. Jika tidak panel tersebut hanya akan memalukan diri sendiri kerana tidak mempu perbahas dengan mahasiswa.

Masyarakat hari ini termasuk warga IPT dan mahasiswa terperangkap dengan salah tafsir dasar pengajian atau pendidikan tinggi. Jika di Tanya masyarakat secara umum tentang kemasukan pelajar ke universiti pasti ramai yang akan mengatakan tujuan masuk ke universiti adalah untuk mendapat kerja yang bagus.

Prof KKK menempelak golongan sebergini yang katanya lebih baik jual pisang goring daripada masuk ke universiti menjadi mahasiswa, pensyarah atau menteri. Kerana menjadi pensyarah belum tentu kaya jika nak banding dengan peniaga. Contoh Mendiang Lim Goh Tong mungkin antara contoh yang terbaik.

Mendiang Lim Goh Tong yang hanya mendapat pendidikan rendah sewaktu berada di Tanah Besar China, tidak mampu bertutur dalam bahasa melayu dan Inggeris tetapi menjadi lelaki ketiga terkaya di Malaysia dengan asset lebih 3 billion. Begitu juga Bill Gates lelaki terkaya dunia yang hanya memegang diploma sahaja. Masuk ke universiti sama sekali bukan tujuan untuk menjadi kaya dan kerja yang bagus.

Bergelar mahasiswa perlu lebih hanya sekadar menghadiri kelas, membuat tugasan, menyiapkan projek akhir yang akhirnya memegang segulung ijazah. Tetatpi bergelar mahasiswa berperanan lebih daripada itu. Mengangkat tradisi intelektual, kepedulian kepada ummat, peka kepada persoalan sekeliling dan kesungguhan di dalam melakukan perubahan kepada yang lebih baik.

Berdasarkan dua perbandingan ini saya menyerahkan kepada pembaca untuk buat penilaian.

BB7 – 2.35 Pagi

No comments: