Tuesday, April 15, 2008

JAWATAN KUASA KHAS PERLU DITUBUHKAN DI DALAM MENILAI PRESTASI DAN PEMILIHAN NAIB CANSELOR



Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Melihat kepada prestasi Universiti pada hari ini yang kian merosot, memerlukan satu anjakan baru dalam pendidikan peringkat tinggi. Dengan kepimpinan baru Kementerian Pengajian Tinggi dibawah Datuk Khalid Nordin perlu untuk menimbang cadangan ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada pihak yang perlbagai untuk menilai prestasi dan pemilihan lantikan Naib Canselor universiti-universiti.

Cadangan ini pernah diutarakan olehKementerian Pengajian Tinggi sewaktu Dato Dr Shafie Salleh mengemukakan cadangan agar di tubuhkan sebuah Jawatakuasa pemilihan Naib Canselor universiti (9 November 2005). Cadangan ini dikemukan atas konotasi kepada kemerosotan kedudukan 200 universiti di carta World Universiti Ranking (WUR). Universiti Malaya pada tahun sebelumnya yang menduduki tangga ke 89 tetapi pada tahun 2005 menduduki tangga ke 169 manakala USM pada tahun tersebut terkeluar daripada senarai. Namun demikian sehingga hari ini cadangan tersebut masih belum menerima apa-apa tindakan.

Cadangan ini diyakini dapat mengatasi kemerosotan kualiti dan mutu universiti. Jawatankuasa ini hendaklah mengmbil pertimbangan kepada aspek nilai-nilai dan ciri kepemimpinan tinggi, di samping latar belakang akademik kukuh, termasuk dari segi penyelidikan, penerbitan ilmiah serta berupaya menjalin rangkaian hubungan antarabangsa di seluruh dunia yang ada kepada Naib Canselor.

Namun demikian, cadangan penubuhan jawatan kuasa ini perlu diperinci dan diperhalusi objektif dan pelaksanaannya. Penubuhan Jawatan Kuasa itu perlu dilaksanakan atas dasar untuk memastikan universiti dipimpin tokoh terbilang keilmuannya dan komited menjadikan IPTA itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serta penyelidikan terkemuka dunia dan bukan atas dasar yang sempit dengan hanya mengharumkan nama universiti dan bukan kerana obsessi dan keghairahan untuk mendapat angka yang lebih kecil di carta universiti dunia.

Mendokong teguh dasar kebebasan akedemik, pemilihan Naib Canselor mestilah seperti yang telah dinyatakan. Ciri-ciri kepimpinan dan nilai budi yang tinggi selain daripada horizon ilmu yang luas dan latar belakang akedemik yang kukuh.Aspek ini sekali gus menolak unsur-unsur kepartian, lobi-melobi, kronisme dan lain-lain aspek yang mampu untuk merendahkan krediabaliti universiti dan naib canselor.

Selain daripada itu unsur-unsur utalitarian atau dasar pemilihan naib canselor yang terlampau tunduk kepada kehendak pasaran dan industri. Jika unsur Utilitarian ini dilihat sebagai timbang tara yang besar di dalam membuat pemilihan Naib Canselor, ia mampu untuk membantutkan cita-cita dan falsafah universiti. Falsafah universiti yang penuh dengan cita-cita tinggi dan gagasan besar sudah tentu tidak sama dengan falsafah pasaran dan industri yang lebih tertumpu kepada aspek keuntungan 'profit oriented'.

Namun diharap agar pemilihan naib canselor ataupun rektor itu tidak tersasar jauh dengan memilih golongan yang tidak sepatutnya dan golongan yang tidak dapat menghayati misi serta visi universiti. Naib Canselor dan jawatankuasa tersebut haruslah mengambil factor misi dan falsafah universiti sebagai kayu ukur dan pertimbangan yang kukuh di dalam melaksanakan apa-apa dasar dan keputusan.

Mengambil kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz, Univerisiti dahulu dinaungi oleh Naib Canselor yang umpama pepohon yang rendang. Sikap dan ciri-cirinya amat melindungi dan membina. Pepohon rendangan ilmu dan budi membina generasi mahasiswa yang mampu mengangkat martabat bukan sahaja universiti malahan negara. Namun kini, Prof Diraja Ungku Aziz mengibaratkan universiti seperti 'politizing the non-partisan instituition'. Terlampau banyak pengaruh politik bukan sahaja di kalangan mahasiswa, malahan ahli akedemik dan pentadbiran universiti.

Di Akhir tulisan ini,secara tuntasnya penulis ingin meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kegemilangan ilmu dan budi generasi, maka ejen utama kepada matlamat itu adalah universiti. Jika universiti sebagai ejen utama pelaksanaan korup dan tercemar maka sudah tidak ada lagi institusi lain yang boleh diharapkan untuk membina generasi. Maka, dengan penubuhan Jawatankuasa ini diharap dapat membuat pemilihan Naib Canselor dan Rektor universiti sebaik mungkin serta menjayakan hasrat besar itu.

3.18 Pagi

Anjung Rahmat, Gombak

No comments: