Wednesday, April 2, 2008

DEB DAN TUNTUTAN ZAMAN



DEB DAN TUNTUTAN ZAMAN
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
www.saifullahzulkifli.blogpsot.com

Malaysia pasca Pilihanraya umum ke-12 berhadapan dengan satu lanskap baru politik Malaysia apabila Barisan Alternatif memenangi 5 buah negeri dan melakar sejarah baru pilihanraya Malaysia apabila menafikan Barisan Nasional daripada meraih dua pertiga kerusi di perlimen. Fenomena ini pastinya membuka satu fasa baru Malaysia yang akan memberikan kesan besar kepada pelaksanaan dasar ekonomi di Malaysia.

Malaysia sejak 1971, dibawah kerajaan Barisan Nasional (BN) telah merencana ekonominya dengan rangka kerja yang telah diletakkan melalui garis panduan Dasar Ekonomi Baru. Namun demikian, apabila hampir 4 dekat pelaksanaannya, Barisan Alternatif mula untuk mempersoalkannya malah di dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang telah mula untuk menolak pelaksanaan DEB yang dikatakan korup dan kronisma. BA mula untuk menggantikan DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia seperti mana yang telah digagaskan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Tindakan ini telah menjadi perhatian dan respon pelbagai pihak dan pastinya dipihak BN membantah sekerasnya tindakan ini kerana ianya dianggap mencabar ketuanan melayu. Demonstrasi jalanan diadakan, menghantar memorandum dan pakatan-pakatan kelompok tertentu dilaksanakan bagi menzahirkan penentangan dalam hal tindakan mengenepikan DEB.

Dalam hal ini juga, generasi muda yang rata-rata lahir pasca DEB menimbulkan tanda tanya, apakah DEB itu? Apakah peruntukkan-peruntukkan yang diletakkan dalam dasar tersebut? Apakah peranannya yang begitu besar dalam sosio-masyarakat Malaysia yang majmuk?.Persoalan yang lebih besar mengapakah sesetengah masyarakat Melayu melihat DEB begitu mulia? Ini adalah persoalan-persoalan yang sering ditanyakan oleh generasi muda yang kurang mengetahui dan sensitif dalam soal DEB.

DEB dalam perspektif peribadi merupakan satu perangkaan dasar yang dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan dan menangani masalah perkauman akibat daripada jurang ekomoni antara kaum. Malaysia yang dilanda tragedi 13 Mei 1969, adalah antara kesannya akibat daripada sistem peninggalan penjajah British ‘Pecah dan Perintah’ yang membahagi-bahagikan masyarakat pelbagai kaum. Melayu sebagai petani di kampung-kampung, India di ladang-ladang, Cina di bandar dan pekan.

Dasar ini memberikan 2 kesan yang besar iaitu, menghasilkan prejudis dan syak sangka yang buruk pelbagai antara kaum akibat kurang komunikasi, serta dampingan kaum dan kesan kedua adalah jurang ekonomi yang ketara antara kaum, yang sering dipersalahkan adalah orang Cina yang tinggal di bandar, dirasakan menikmati pelbagai pembangunan.

Memberi respon kepada fenomena inilah pemerintah pada waktu itu melaksanakan DEB. Antara tujuan yang dinyatakan adalah menambah bahagian bumiputera dari 2.4% ke 30%, walaupun mereka merupakan 56% daripada jumlah penduduk, dan serentak dengan itu menambah bahagian bukan bumiputera dari 34.3% ke 40% serta mengurangkan bahagian orang asing daripada 60.3% ke 30% dalam bahagian ekonomi.

Setelah hampir 4 dekad pelaksanaannya sejak 1971, pelbagai kritikan telah diberikan. Ini termasuklah kritikan bahawa DEB digunakan sebagai alat untuk mengkayakan sesetengah kelompok dalam negara, ianya juga mengundang rasuah dalam masyarakat. Fenomena masyarakat bumiputera yang diberi kontrak dan tender hasil kelebihan DEB, tapi apa yang berlaku kontrak tersebut dijual, kalaupun dilaksanakan diambil ringan hingga membuatkan projek itu tidak sempuna.

DEB seharusnya tidak boleh dianggap sebagai darah daging orang melayu, atau tanpa DEB habislah orang melayu. DEB bukanlah al-Quran atau Sunnah yang tidak boleh disentuh. Dasar ekonomi yang menjadi perkara pokok dalam sesebuah negara perlu dibahas dan dihadam sedalam mungkin bagi menghasilkan sebuah dasar dan kuasa ekonomi yang kukuh dan gagah. Setelah 37 tahun pelaksanaannya, tidaklah menjadi salahnya jika kita melihat kembali DEB bagi penambahbaikan atau mungkin dasar ekonomi yang diberi nafas baru yang menjawab serta menjana strategi ekonomi selaras dengan pembangunan zaman.

2 comments:

Amin Ahmad said...

'Dasar (pecah dan perintah) ini memberikan 2 kesan yang besar iaitu, menghasilkan prejudis dan syak sangka yang buruk pelbagai antara kaum akibat kurang komunikasi, serta dampingan kaum dan kesan kedua adalah jurang ekonomi yang ketara antara kaum, yang sering dipersalahkan adalah orang Cina yang tinggal di bandar, dirasakan menikmati pelbagai pembangunan'.

'DEB seharusnya tidak boleh dianggap sebagai darah daging orang melayu, atau tanpa DEB habislah orang melayu. DEB bukanlah al-Quran atau Sunnah yang tidak boleh disentuh'.
____________________________________

DEB akhirnya mengulang Dasar Pecah dan Perintah dari segi kesannya - prasangka dan jurang ekonomi antara kelompok kaya dan miskin merentas bangsa. Semangat besar DEB sebagai alat mencapai keadilan hilang malah semakin membengkakkan kezaliman.

Saya percaya Al-Quran dan Sunnah masih boleh disentuh dan dibincangkan. Pendapat mengatakan ianya tidak boleh disentuh saya kira pendapat yang tidak akan menghidupkan geist Islam.

MarkLe said...

Terima kasih saudara di atas tulisan dan idea saudara. Saya ingin meminta izin saudara untuk mengambil sedikit isi dalam tulisan ini unutk dimasukkan ke dalam assignment saya.

Terima kasih.