Thursday, January 10, 2008

BADI'UZZAMAN SAID NURSI: CAHAYA DI TENGAH KEGELAPAN


BADI'UZZAMAN SAID NURSI: CAHAYA DI TENGAH KEGELAPAN TURKI
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Peluang untuk berada di Turki telah memberikan seribu
satu pengalaman. Tanggal 5 Disember 2007 kaki ini
telah berpijak di bumi tanah khilafah terakhir Islam
khilafah Uthmaniah. Bumi Istanbul yang pada asalnya
Kota Konstantinople yang diperintah oleh kerajaan
Byzantium telah ditawan oleh seorang pemuda yang hanya
berusia 21 tahun dengan nama Muhammad al fateh.

Sewaktu berada di Turki penulis berkesempatan untuk
berjumpa dengan salah sebuah pertubuhan daripada 7
kumpulan menyambung perjuangan Islam hasil cetusan
Ustaz Said Nursi Badiuzzaman iaitu Yayasan Khairat.
Yayasan Khairat yang disifatkan sebagai gerakan Islam
hasil didikan Said Nursi yang lebih cenderung kepada
Sufism. Dalam pada masa yang sama mereka begitu aktif
dalam penerbitan buku dan majalah Islam, ‘Pena’
disamping penerbitan kitab besar tulisan Said Nursi,
‘Rasail an-Nur’.

Sa'id bin Mirza atau dikenali dengan gelaran
Badi'uzzaman dilahirkan pada tahun 1876 di Nurs iaitu
sebuah perkampungan kecil terletak di daerah Khizan,
Turki. Beliau merupakan seorang tokoh ilmuwan yang
teragung di dalam sejarah Turki kerana memperjuangkan
dan mengembalikan semula martabat agama Islam yang
telah musnah. Said Nursi telah dibesarkan dalam sebuah
keluarga yang hidup dalam penuh sederhana. Ibu bapanya
yang berketurunan Kurdis bekerja sebagai petani dan
berasal daripada salasilah keturunan Ahl dl-Bayt.
Majlis perbincangan Ilmu diantara kalangan ahli ulama
sering diadakan di rumah ayahnya dan beliau sering
mengambil kesempatan untuk turut serta mendengarnya.
Dibesarkan dalam suasana yang penuh keilmuan
memberikan perangsang terhadap jiwa beliau dan
pengaruh kepada pemikirannya. Nama Badi'uzzaman yang
bermaksud ‘Keunggulan Zaman’ telah diberikan kepada
Said Nursi oleh guru beliau iaitu, Syeikh Fathu'llah.
Namun demikian, Said Nursi menolak untuk dipanggil
Badi'uzzaman kerana merasakan diri beliau belum layak
untuk dipanggil sebegitu.

Ketika usianya hanya sembilan tahun, beliau bersama
abangnya Abdullah Nursi telah menimba ilmu dengan
berguru kepada ramai ahli ulama terkenal termasuk
Syeikh Muhammad al-Jalali di Madrasah Bayazid, di
sempadan Iran. Said Nursi seterusnya telah berjaya
menguasai kitab-kitab muktabar seperti Jam'al-Jawami,
Sharh al-Mawaqif dan Ibn Hajar hasil bimbingan oleh
Syeikh Muhammad al-Jalali. Beliau dikenali sebagai
tokoh ulama muda yang hebat kerana keterampilan
beliau.

Seorang Gabenor Bitlis yang bernama Umar Basha amat
mencintai ilmu dan memartabatkan ahli ulama telah
memberi peluang kepada Said Nursi untuk tinggal di
kediaman beliau untuk memudahkan Said Nursi menimba
ilmu kerana beliau memiliki sebuah perpustakaan yang
besar di rumahnya. Peluang keemasan yang diberikan
oleh Gabenor Bitlis itu tidak ditolak oleh beliau dan
Said Nursi menggunakan peluang tersebut dengan
sepenuhnya. Beliau diberi peluang untuk menimba dan
mendalami kitab-kitab seperti Al-Matali, Al-Mawaaif
dan Al-Mirqat. Hasilnya, dalam tempoh selama dua
tahun, beliau telah berjaya menguasai pelbagai ilmu
diantaranya adalah al-kalam, nahu, tafsir dan hadith
dengan begitu mantap serta mendalam sekali.

Selepas dua tahun berjaya mendalami beberapa kitab di
kediaman Umar Basha, beliau dengan berat hati terpaksa
meninggalkan Gabenor Bitlis tersebut kerana ingin
meneruskan usaha untuk memperluaskan ilmu. Dalam
usahanya untuk memperluaskan ilmu, di sekitar tahun
1897, beliau telah bertemu dengan Gabenor Hasan Basha
dan diberi tawaran untuk berkhidmat di Van sebagai
ulama. Beliau menerima tawaran itu dan menetap
seketika di rumah Gabenor Hasan Basha sebelum
dijemput pula untuk menetap di rumah kediaman Gabenor
Baru Van iaitu Tahir Basha.

Ketika di Van, beliau telah diberi peluang untuk
bertemu dan berbincang dengan tokoh-tokoh ilmuwan
moden. Melalui pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh
ilmuwan moden tersebut, beliau menyedari pada
hakikatnya beliau masih lemah akan ilmu moden dan
perlu berusaha untuk memperbaiki kelemahannya.
Kesedaran terhadap kelemahannya tidak mematahkan
semangat beliau, sebaliknya mendorong beliau untuk
berusaha serta mendalami ilmu-ilmu moden dalam bidang
sejarah, matematik, geografi, falsafah moden dan sains
seperti fizik, kimia dan biologi.

Said Nursi sekali lagi diberi gelaran Badi'uzzaman
setelah berjaya mengusai dikedua-dua bidang agama dan
juga ilmu moden. Gelaran yang diberikan kepadanya itu
diterima dan dijadikan sebahagian daripada nama
beliau. Beliau telah mendapat kesedaran ketika
mendalami ilmu-ilmu moden bahawa sistem pendidikan
ketika itu perlu diubah. Said Nursi berpendapat bahawa
ilmu agama dan ilmu sains moden tidak patut
dipisahkan.

Selain itu, beliau juga bertekad untuk mengubah
pemikiran negatif masyarakat yang beranggapan bahawa
ilmu agama dan ilmu sains moden perlu diasingkan.
Usaha beliau ini dilaksanakan ketika beliau menjadi
seorang guru di sebuah madrasah yang dikenali sebagai
Madrasah Khur Khur. Beliau mengenengahkan ideanya
bahawa umat Islam perlu menguasai kedua-dua ilmu
tersebut demi masa hadapan yang akan dihadapi oleh
umat Islam. Beliau juga berusaha gigih untuk membuka
sebuah universiti yang akan diberi nama Madrasah
Al-Zahra. Namun hasratnya tidak tercapai kerana tidak
mendapat kelulusan daripada pihak berpengaruh di
Istanbul.

Walaupun usahanya untuk mendirikan sebuah universiti
tidak dapat direalisasikan, beliau terus gigih dengan
usaha beliau yang seterusnya iaitu memartabatkan umat
Islam sebagai ‘Umat Contoh’. Beliau tetap dengan
pendiriannya, ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu sains
moden tidak boleh dipisahkan dan perlu bergerak
seiiring. Oleh itu, beliau merancang serta mengatur
cara-cara untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem
pendidikan ketika waktu itu.

Menarik untuk ditelusuri susur galur perjuangan Said
Nursi kerana kehidupan beliau yang hidup dalam empat
fasa besar. Pertama adalah sewaktu zaman mudanya
banyak bergelumang dengan ilmu dan ulama seperti mana
yang dinyatakan sebelum ini, namum demikian sewaktu
cetusnya perang dunia pertama beliau terlibat dalam
mengangkat senjata sewaktu perang dunia pertama,
ketiga adalah sewaktu penglibatan beliau dalam politik
dan di hujung hidup beliau yang cenderung kepada
Sufism.

Sejak dari perang Tripoli, kerajaan Uthmaniah telah
terlibat dalam peperang mementang penjajah eropah.
Said Nursi tidak berdiam diri dengan melibatkan diri
sebagai tentera sewaktu Perang Balkan (1912). Apabila
perang dunia pertama berlaku, pada tahun 1914 Said
Nursi sekali lagi terlibat walaupun beliau adalah
salah seorang yang menolak penglibatan Turki dalam
perang tersebut. Beliau telah berkhidmat cemerlang di
bawah Teshkilati Makhsosah di Afrika Utama bagi
menentang Russia.

Namun demikian seperti yang kita ketahui, Khalifah
Uthmaniah telah kalah dalam perang dunia pertama, dan
kekalahan ini telah memberi kesan buruk kepada rakyat
Turki. Tragedi hitan apabila Turki menandatangani
Perjanjian Serves pada 10 Ogos 1920. DI bawah
perjanjian ini bukan sahaja wilayah Arab yang dibawah
kuasa Turki dirampas, malah Anatolia dan beberapa
kawasan lain termasuk Istanbul telah
dibahagi-bahagikan dikalangan negara Eropah.

Dalam pada masa yang sama, satu Gerakan Pembebasan
Kebangsaan Turki telah dimulakan di Anatolia dibawah
kepimpinan Mustafa Kamal Pasha (Ataturk). Gerakan ini
kemudianya telah membawa fasa baru kepada Turki dan
Said Nursi. Gerakan ini yang telah berjaya membebaskan
Turki daripada penjajah, termasuklah Greek yang
dikalahkan pada tahun 1923, telah membawa Turki kepada
sebuah negara republik yang sekular. Pada ketika
inilah, Said Nursi secara langsung terlibat dengan
politik Turki apabila berdepan dengan Mustafa Kamal
Pasha.

Said Nursi kemudian beralih kepada penglibatan secara
tidak pembentukan Parti Demokratik Turki selepas
negara Turki diisytihar sebagai sebuah negara Republik
pada 29 Oktober 1923 dengan tumbangnya Khilafah
Uthmaniah. Pemerintah Turki, Kamal Ataturk sekaligus
melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berteraskan
fahaman sekularisme yang anti-Islam. Pembentukan Parti
Demokratik yang mendapat sokong oleh Said Nursi adalah
bertujuan untuk mendapatkan sedikit kebebasan kepada
gerakan Islam dan juga pemerintahan yang adil.

Pernah satu ketika sewaktu mesyuarat perhimpunan agung
kebangsaan, Mustafa Kamal Pasha (Ataturk), telah
menawarkan jawatan sebagai ahli Parlimen bagi mendapat
sokongan Said Nursi, disamping tawaran untuk menjadi
Ketua Ulama Anatolia Timur, tetapi kerana kerajaan
enggan untuk melaksanakan undang-undang Islam beliau
menolak tawaran tersebut.

Konsep 'kebebasan' yang dikemukan oleh Said Nursi
adalah berbeza kerana bagi beliau, kebebasan merupakan
satu keperluan asas. Malah konsep Sekularisme dalam
definasi beliau yang berbeza dengan pemerintahan
Mustafa Kamal Ataturk telah mengeruhkan lagi hubungan
beliau dengan pemerintah Turki. Sekular dalam
pandangan beliau kebebasan agama untuk bergerak tanpa
cengkaman daripada pemerintah.

Said Nursi ditentang hebat kerana perjuangan beliau
untuk mengangkat martabat Islam. Akibatnya beliau
telah berkali-kali dibuang daerah selama 25 tahun,
kali pertama di sebuah wilayah kecil di Turki iaitu
Barla. Beliau menghabiskan masa selama 9 tahun hidup
dalam buangan di wilayah tersebut. Pada ketika inilah
undang-undang Islam dimansuhkan dan digantikan dengan
undang-undang Swiss dan Itali. Pada waktu ini juga
tulisan jawi Turki ditukar kepada tulisan rumi, Turki
seterusnya diistiharkan sebagai sebuah negara sekular.
Azan dan iqamah haram dilaksanakan dalam bahasa Arab,
ia mesti dilaungkan dalam bahasa Turki. Pelaksanaan
Undang-undang yang menentang Islam dan segala syariat
Islam diharamkan, termasuklah pemakaian tudung.

Usaha-usaha untuk mengekang gerakan Said Nursi jelas
diterangkan oleh Ashraf Adip dalam buku beliau ‘Dine
Reformcular’ dan juga buku ‘Trinchaye Hayat’. Parti
Republikan Rakyat, memerhatikan dan menyekat segala
gerakan Said Nursi. Beliau enggan tunduk dengan
ancaman dan arahan yang diberi pemerintah. Said Nursi
dengan lantang menentang pemansuhan Undang-Undang
Islam dan syariat Islam. Beliau menolak cuti hari Ahad
menggantikan cuti hari Jumaat, kalender Hijrah Islam
kepada kalender masihi. Beliau juga menentang kuat
laungan azan dan iqamah dalam bahasa Turki disamping,
membantah penukaran masjid Hagia Sophia kepada muzium
dan mengharamkan al-Quran bahasa arab (asal).
Tentangan juga kepada beliau adalah kerana tafsiran
sekularisme yang berbeza dengan Parti Republikan
Rakyat yang berkuasa pada waktu itu.

Beliau kemudiannya telah dipindahkan dari wilayah
Barla ke wilayah Isparta. Pada waktu ini, beliau
bersama 120 muridnya yang dikenali sebagai ‘Thalaba
an-Nur’ ditangkap di rumah dan dipenjarakan di Penjara
Eskisheir. Buat kali pertamanya beliau telah dituduh
menubuhkan pakatan sulit untuk menggulingkan kerajaan
dan menyebarkan fahaman untuk menentang kerajaan
menerusi penulisan ‘Rasail an-Nur’. Sewaktu berada di
Mahkamah Eskisheir beliau dengan panjang lebar memberi
keterangan, antara ungkapannya:

“ Sebarang paksaan terhadap saya untuk berdiam diri,
samada dengan mengancam atau menghancurkan gerakan
saya ini, akan membuat seribu lidah yang lain bangun
menyuarakan kebenaran. Dengan Rahmat dan berkat Allah
swt, Risalah an-Nur kian mendapat sambutan dikalangan
rakyat sepanjang 20 tahun yang lepas, semoga seribu
lidah lagi akan menyuarakn kebenaran selain dari lidah
saya yang telah dibelenggu ini.

Saya ishtiharkan kepada tuan hakim dan seluruh dunia
bahawa saya telah mempertahankan kebenaran iman dari
segala serangan ahli falsafah eropah, lebih-lebih lagi
yang tidak percaya kepada adanya tuhan. Saya telah
mempertahankan kebenaran iman dari mereka yang
menggugat keamanan umum dengan akhlaq mereka yang
buruk itu. Saya juga mempertahankan kebenaran iman
dari mereka yang menggunakan politik untuk menyebarkan
fahaman mulhid (Athies)”.

Walaupun tidak dapat membuktikan kesalahan, tetapi
mahkamah Eskishehir tetap menjatuhkan hukuman penjara
kepada beliau selama 11 tahun dan pengikut-pengikutny a
telah dipenjara selama 6 bulan atas tuduhan menulis
‘Tesatur Risalasi’. Ketika dalam penjara beliau hidup
dengan penuh kesusahan dan penderitaan. Tetapi penjara
sama sekali tidak pernah menghalang beliau daripada
terus mengajak manusia kepada kebenaran, melalui
penulisan.

Salah satu penulisan beliau adalah bertajuk, “Panduan
untuk Pemuda, Kemanisan Penjara”. Beliau meletakkan
penjara sebagai rumah kedua kepada penegak Islam dan
kebenaran. Walaupun telah 11 tahun dipenjara, beliau
tetap hidup dalam buangan. Pembebasan tersebut tidak
lama, kerana selepas itu beliau dibicarakan sekali
lagi dan kemudian dipenjarakan di Afyon.

Walaupun beliau telah dizalimi dan diperlaku
sedemikian rupa, tetapi mengikut pandangan beliau,
musuh-musuh Islam ini tidah harus diajar melalui cara
kekerasan kerana ia hanya akan mencetuskan permusuhan
dan akan menimbulkan lebih banyak masalah. Bagi
beliau, musuh-musuh Islam merupakan golongan yang
memerlukan tunjuk ajar daripada umat Islam. Said Nursi
yang menghasilkan Rasa'il Al-Nur telah menjadi karya
pemikiran beliau yang amat beharga.

Sehingga ke hari ini, jasa dan pengorbanan Said Nursi
terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada pelbagai
pihak. Walaupun penerus gerakannya telah berpecah
kepada 7, tetapi ia telah memberi kesan yang besar
pada Turki pada hari ini. Erbankan melalui Parti Refah
dan Saadat, Erdogan dan Abdullah Gul dari Parti Refah
dan AKP, kesemuanya adalah dari susur galur yang sama,
penerus kelangsungan perjuangan yang dicetuskan oleh
Said Nursi Badiuzzaman.

1 comment:

Puan H. said...

Salam abg,
baru sy tahu psl kisah ni..
bgs abg postkan..