Friday, March 2, 2007

23 APRIL: SAMBUTAN HARI BUKU SEDUNIA YANG ASING DI MALAYSIA


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

23 April merupakan satu tarikh simbolik kepada dunia penulisan dan kesusteraaan serta pada tarikh yang sama juga pada tahun 1616, Cernvantes, Shakespeares dan Inca Garcilaso De La Vega meninggal dunia. Pada tarikh ini jugalah telah lahir dan matinya penulis-pelulis besar yang lain termasuklah Maurice Druonj, K.
Laxness, Vlamir Nabokov, Josep Pla dan Manuel Mejia Vallejo.
Justeru itu, pada tarikh tersebut Persidangan Umum UNESCO telah meletakkan satu tarikh yang khusus ditujukan kepada pecinta buku sedunia dan penulis bagi menghargai sumbangan mereka. Selain daripada itu, sambutan hari buku sedunia ini diadakan bagi menggalakkan masyarakat dunia terutamanya golongan muda untuk membudayakan pembacaan dan menyanjungi mereka yang dihormati kerana sumbangan besar mereka kepada masyarakat dunia.

Pada tahun ini UNESCO telah memilih Turin, Itali sebagai tuan rumah atau pusat buku sedunia (World Book Capital) yang mana telah dirancang pelbagai program dan aktiviti di dalam sambutan hari buku sedunia pada tahun ini. Pada tahun hadapan, Bogota, Columbia pula telah dipilih sebagai pusat buku sedunia bagi menyambut sambutan hari buku sedunia.

Cetusan idea awal kepada sambutan ini bermula di Catalonia dimana pada 23 April, adalah merupakan hari Saint George, satu hari sacara tradisi meletakkan bunga ros sebagai tanda hadiah dan penghormatan kepada setiap buku yang terjual. Kejayaan sambutan Hari Buku Sedunia secara langsung meletakkan penglibatan semua pihak yang terlibat di dalam dunia penulisan dan penerbitan. Baik di peringkat penulis, penerbit, pengajar, perpustakawan, masyarakat, media, pertubuhan bukan kerajaan malahan institusi swasta. Namun demikian, penumpuan khusus telah diletakkan kepada jumlah buku yang telah terjual atau secara tepat ia melibatkan kadar bacaan dikalangan masyarakat.

Di dalam konteks Islam, kita mungkin meletakkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw di peristiwa gua Hira’ itu dalam 40 tahun selepas kelahiran baginda sebagai tarikh yang meletakkan manusia dan ilmu pada tempatnya. Tidak ada agama lain baik agama wahyu atau agama budaya yang memberikan satu penekanan dan penghormatan yang besar kepada ilmu dan kitab. Sepertimana yang Allah nyatakan dalam firmanNya surah Almujadalah ayat 11 maksudnya “Allah SWT mengangkat Darjat orang-orang yang beriman dikalangn kamu dan begitu juga orang yang dikurniakan ilmu beberapa darjat”

Namun demikian adalah sesuatu yang malang bagi ummat Islam apabila ajarannya yang mengangkat darjat ilmu ini tidak benar-benar dihayati dan dibudayakan di dalam ummat Islam. Kita tidak perlukan seperti hari Saint George untuk menghargai pembacaan buku atau menunjukkan hormat kita pada ilmu tetapi dalam konteks dunia Islam kini yang diistilahkan oleh Malik Bennabi sebagai ‘colonize able’ atau lemahnya dunia islam sehingga mampu dijajah, adalah kerana kedangkalan ilmu dan kebejatan moral yang berlaku di dalam masyarakat. Justeru adalah wajar untuk kita mula hasilkan sesuatu yang baru untuk menggalakkan masyarakat Islam terutama golongan muda untuk membaca dan menghargai ilmu.

Di Malaysia tarikh ini tidak dianggap penting seperti tarikh-tarikh lain yang diraikan dengan penuh meriah diseluruh negara seperti sambutan hari valentine, sambutan tahun baru dan lain-lain. Bagi kebanyakkan anak muda negara ini mereka akan membuat persiapan tertentu bagi menyambut ketibaan hari valentine dan sambutan tahun baru.

Lazimnya, tarikh ini akan disambut dengan pesta tari menari dan sambutan penuh meriah termasuk persembahan artis-artis ternama tanah air. Budaya-budaya sebegini telah mendarah daging dalam diri anak-anak muda kita. Mungkin bagi mereka tiada ertinya sambutan hari buku sedunia yang tidak disajikan dengan pesta sambutan dan perayaan seperti sambutan hari-hari lain.

Di negara kita, hari keagungan ilmu yang seharusnya didukung dengan gelombang sambutan meriah seluruh dunia seakan-akan suram dan sepi tanpa sebarang sambutan. Masyarakat tidak langsung maklum betapa keramatnya tarikh ini. Lebih menyedihkan apabila masyarakat tidak langsung menghargai keajaiban dan keagungan ini.

Pada 1983 kajian umum ahli akedemik dari universiti tempatan dibawah pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia (UPM), menunjukkan hanya 0.028 peratus atau 28 daripada setiap seratus ribu orang menjadi mana-mana perpustakaan, walaupun sebenarnya 74 peratus daripada rakyat Negara ini sudah boleh membaca. Hasil kajian beliau, 27 peratus tidak mempunyai buku di rumah, 30 peratus tidak memiliki majalah dan 10 peratus tidak memiliki surat khabar dalam tempoh 6 bulan. Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat dalam setahun dan hakikat itu menggambarkan betapa masyarakat kita sebenarnya tidak berminat untuk membaca.

Program nadi ilmu amalan membaca (NILAM) yang dilaksanakan di semua sekolah, rendah dan menengah di seluruh Negara yang bermula sejak pertengahan 1998 telah menambahkan lagi kebimbangan terhadap fenomena yang merugikan ini. Berdasarkan program NILAM, sehingga akhir tahun lalu hanya 34.8 peratus pelajar sekolah rendah mencapai tahap jauhari dengan empat kategori pengiktirafan, iaitu gangsa, emas, perak dan nilam, manakala peringkat rakan pembaca pula cuma 14.3 peratus. Senario yang membimbangkan ini turut berlaku diperingkat sekolah menengah apabila hanya 21.9 peratus mampu mencapai tahap jauhari dan 10.3 peratus lagi Rakan Pembaca.

Tamadun Islam yang mencapai mercu kegemilangan ketika zaman pemerintahan Rasulullah dan Khilafah sangat mementingkan soal ilmu. Malah menuntut ilmu itu satu kewajipan bagi setiap muslim di sisi agama Islam. Kedudukan ilmu yang cukup tinggi darjatnya ini terjamin melalui wahyu yang pertama diterima oelh Rasulullah saw daripada Allah swt dalam surah Al-Alaq. Ayat pertama itu menyeru Rasulullah dan umat manusia dengan seruan “bacalah!”.
Rasulullah juga bersabda bahawa manusia yang tidak berpengatahuan (Alim) dan tidak berusaha untuk mendapatkan ilmu (Muta’alim) adalah seperti hamaj: binatang parasit yang hanya hidup denagn menghisap darah binatang lain. Oleh sebab itu, kekuatann dan kegemilangan tamadun Islam diasaskan dengan kegemilangan Tradisi intelektualnya.
Malah kota Islam Baghdad umpananya pernah dinobatkan sebagai ‘The Craddle of Civilization’ atau paksi peradaban kerana telah menghasilkan karya-karya ilmu yang agung tulisan al-Ghazali, Ibn Khaldun dan nama-nama besar yang lain.

Tamadun yunani juga dianggap sebagai tamadun yang cukup gemilang terbentuk kerana tradisi keilmuannya yang cukup tinggi. Hasil keilmuan yunani terutama yang berpusat di Athens telah memberi pengaruh yang besar keatas Rom dan bangsa lain sehingga ke hari ini. Bidang-bidang ilmu seperti logik, matematik. Falsafah dan sains yang dibentuk sewaktu ketamadunan yunani banyak mempengaruhi tamadun-tamadun lain termasuklah ketamadunan Islam sendiri. Pengaruh pemikiran dan karya-karya tokoh-tokoh yunani seperti Plato, Aristotle dan Socrates turut ditekuni dan memperaruhi pemikiran tokoh besar Islam seperti ibn Sina, al-Farabi dan Ibn Rushd.

Di dalam perspektif yang berkaitan, Anwar Ibrahim di dalam buku menangani perubahan ( 1989) menyatakan bahawa kelahiran tradisi dan budaya ilmu merupakan salah satu prasyarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembangunan bangsa yang kuat serta pembinaan yang tamadun yang tinggi. Buku ‘Pembudayaan Budaya Ilmu’ (1993) yang dikarang oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud mengungkap secara baik tentang konsep dan kepentingan membaca dan pembudayaan ilmu di dalam masyarakat Malaysia secara khusus dan ummah amnya.

Usaha kearah memertabatkan ilmu haruslah dijalankan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Usaha ini harus didukung oleh semua tanpa mengira perbezaan, fahaman, dan agama. Amat rugi sekiranya kita tidak ambil endah langsung tentang keanggunan dan keajaiban ilmu dengan tidak melakukan apa-apa untuk menambahkan ilmu. Kita boleh membiarkan tarikh 23 April sebagai hari buku sedunia berlalu dengan begitu saja tetapi jangan kita izankan kekontangan dan kegersangan ilmu menyelubungi masyarakat kita. Tarikh 23 April hanyalah satu tarikh buat semua pendukung dan pencinta ilmu meramalkannya. Seharusnya kita jadikan tarikh ini sebagai batu loncatan untuk kita pelajari lebih banyak ilmu dan membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya mula sedar tentang keagungan ilmu dan buku. Bersama-samalah kita sambut hari buku sedunia pada masa yang akan datang, sebagai langkah pertama kearah mengiktiraf kepentingan ilmu untuk masa depan diri dan bangsa yang lebih cemerlang.

MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

No comments: