Friday, March 2, 2007

PEMBERIAN ELAUN DAN INSENTIF MPP UUM

Pemberian elaun kepada Presiden dan Setiusaha serta pelbagai kelebihan lain yang di berikan kepada kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diumumkan oleh Naib Canselor UUM, Datuk Dr Nordin Kardi minggu lepas.

Tindakan yang dijalankan oleh Naib Cancelor UUM itu adalah kesungguhan beliau untuk melihat kepemimpinan Mahasiswa Universiti Utara Malaysia menunjukkan contoh kepemimpinan unggul bukan saja pada peringkat kebangsaan malah antarabangsa.

Usaha ini dilihat satu usaha murni seorang Naib Canselor setelah pelbagai isu dilontarkan berhubungkait dengan Naib Canselor Universiti. Namum demikian, tindakan ini perlu dikaji kesan dan implikasi jangka masa panjang kepada persoalan pembangunan aktivisme dan idealisme mahasiswa.

Aktivisme dan idealisme mahasiswa yang dilihat penuh dengan daya juang dan pengorbanan yang tinggi, bukan sahaja dari aspek tenaga dan komitmen, malah aspek harta dan wang juga sanggup dikorbankan. Elemen pengorbanan dan keikhlasan ini secara dekat berhubung kait dangan aspek 'voluntarisme' atau kesukarelawanan.

Aktivisme mahasiswa yang sering kali dikaitkan dengan aspek kesukarelawanan, tanpa mengharapkan sebarang balasan dan penuh dengan nilai keikhlasan dilihat mampu terhakis dalam jangka masa panjang jika mahasiswa terus dimomok dan disuap dengan pelbagai insentif yang melampau.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan akan sampai satu masa kelak aktivisme dan idealisme menggerakkan masyarakat dan negara dikalangan mahasiswa akan mati jika mahasiswa tidak diberikan insentif atau wang. Nilai-nilai meterialisme menjadi pendokong utama untuk mehasiswa bergerak. Sudah tidak ada lagi gagasan dan cita-cita besar untuk perjuangan masyarakat tidak ubah seperti ungkapan 'tidak ada duit, tidak ada kata'.

Pemberian insentif yang keterlaluan juga mampu untuk mengubah perspekfif umum tentang Majlis Perwakilan Mahasiswa, yang akan menjadi sebagai alternatif mahasiswa untuk menambah pendapatan. Jika ini terus berlaku Majlis Perwakilan Mahasiswa akan hilang taringnya.

Pemberian insentif yang keterluan ini memberikan kesan yang lebih parah apabila ianya akan membisukan suara Majlis Perwakilan Mahasiswa yang sepatutnya menjadi suara Mahasiswa kepada Universiti dan masyarakat. MPP hanya menjadi salah satu daripada badan dan kekitangan universiti. Segala tindak tanduk MPP ditentukan dan dikawal oleh pihak Universiti.
Namun demikian bukan semua bentuk insentif harus ditolak, insentif seperti pengecualian kursus antara tiga hingga 12 jam kredit dianggap baik. Tetapi insentif bentuk kebandaan dan elaun harus dikaji kerana dua bentuk insentif ini mampu untuk mencemarkan aktivisme dan idealisme murni mahasiswa.

No comments: