Friday, March 2, 2007

MEDIA HARUS MEMOHON MAAF KEPADA UNIVERSITI DALAM LIPUTAN ‘SISWA MENGAKU KHALWAT’

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Merujuk kepada keratan akhbar Berita Harian bertarikh 12 Jun 2006, satu sisipan berita yang memaparkan kes khalwat yang melibatkan seorang siswi dan seorang pemain import bola sepak kelantan.

Namun yang jeleknya adalah hebahan dan gambar yang besar diletakkan berhubng isu ini. Dalam satu akhbar arus perdana berbahasa Inggeris meletakkan gambar siswi yang berbabit dengan gambar hampir suku muka surat, beserta berwarna yang biasanya gambar sebegini diberikan apabila liputan yang dibuat melibatkan Perdana Menteri.

Yang lebih membangkitkan rasa tidak puas hati adalah nama universiti yang terbabit tertera secara jelas, malah jurusan yang dipelajari siswi tersebut turut dipaparkan. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam akhbar arus perdana.

Banyak persoalan yang timbul, terutama mahasiswa dan masyarakat. Kenapa ini boleh terjadi? Adakah tidak pernah terfikir sensitiviti masyarakat, keluarga dan universiti sewaktu hendak menerbitkan berita tersebut? Sedikit sebanyak perkata ini melanggar etika kewartawanan.

Yang merisaukan penulis, disaat ini siswi yang terbabit pasti akan dikenakan hukuman oleh pihak universiti. Tetapi apabila tiba disaat itu kita akan bertanya, adakah siswi tersebut dihukum kerana kesalahan beliau atau kerana kemarahan universiti terhadap aib yang telah dibuka oleh media.

Penulis bukan hendak menghalang media untuk memaparkan apa yang telah berlaku di dalam masyarakat, tetapi adakah wajar atas kesalahan orang lain universiti yang harus dipersalahkan dengan menanggung malu. Penulis melihat isu ini sebagai ‘Personal Assassination’ atau pembunuhan peribadi yang melibatkan imej universiti secara terbuka. Apatah lagi universiti terbabit membawa imej yang baik kepada masyarakat.

Sehingga tahap ini akan ada dua pihak harus mengambil perhatian, pihak universiti harus mengambil sikap yang sepatutnya dan adil di dalam mengadili perkara ini tanpa pengaruh aib dari pihak media. Perkara kedua, jika hukuman lebih lanjut dikenakan kepada siswi terbabit dalam keadaan tidak sepatutnya kerana pengaruh aib media, maka media seharusnya rasa bersalah dan menanggung kesalahan tersebut.

Secara tuntas, harapan penulis agar siswi yang terlibat bertaubat atas apa yang berlaku, kedua pihak media yang terlibat harus memohon maaf kepada universiti yang terlibat kerana telah mengaibkan pihak yang tidak bersalah dan terakhir adalah pihak universiti harus mengadili kes ini secara adil tanpa pengaruh kesalahan yang dilakukan media.


________________________________________________________________________


MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI
Universiti Islam Antarabangsa

No comments: